Monday, June 10, 2019

BAYAR ZAKAT DAPAT PERLINDUNGAN RM3,000

BAYAR ZAKAT DAPAT PERLINDUNGAN RM3,000

Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) baru-baru ini telah melancarkan Skim Kafalah Muzakki bermula tahun 2019.
Skim ini adalah satu bentuk perlindungan, tanda penghargaan, tanda kasih sayang PPZ-MAIWP kepada pembayar zakat di PPZ-MAIWP.
Sekiranya pembayar zakat meninggal dunia, waris akan mendapat wang BERJUMLAH RM3,000 TUNAI.
Siapa yang layak mendapat manfaat skim ini?
(1) Semua pembayar zakat di PPZ-MAIWP bermula pada tahun 2019.
(2) Bayar zakat minimum RM50 setahun pada setiap tahun di PPZ-MAIWP.
(3) Pembayar zakat yang membuat bayaran dalam tahun kematian atau mempunyai rekod bayaran zakat pada (1) tahun sebelum kematian.
(4) Permohonan tuntutan oleh waris/penama/pemohon adalah dalam masa 6 bulan selepas tarikh kematian.
(5) Bayaran zakat adalah tertakluk kepada Zakat Harta sahaja.
Untuk pengetahuan PPZ-MAIWP atau nama penuhnya Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan adalah Institusi Zakat bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Walau bagaimanapun, sekiranya tuan-puan bukan warga Wilayah Persekutuan atau berada di luar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, tuan-puan masih layak untuk menikmati skim ini dengan syarat tuan-puan bayar zakat minimum RM50 setahun di PPZ-MAIWP.
Mudah cerita jika tuan-puan berada di Terengganu, buat bayaran secara online ke PPZ-MAIWP minimum RM50 setahun, setiap tahun untuk layak menerima khairat kematian RM3,000 tunai.
Jangan lupa pula bayar juga zakat di mana tempat tuan puan bermastautin, dalam kes ni di Terengganu, bayar zakat di Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu atau singkatannya MAIDAM.
Jika tuan puan di Selangor pula, bayar sebahagian zakat dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan sebahagian pula bayar minimum RM50 setahun dengan PPZ-MAIWP.
Begitulah seterusnya. Berdasarkan rujukan dengan pihak PPZ-MAIWP, tiada sekatan dibuat ke atas mana-mana pembayar zakat.
Maknanya pembayar zakat dari mana-mana lokasi di seluruh negara mahu pun di lokasi seluruh dunia layak menyertai skim ini.
Ingat bayar minimum RM50 setiap tahun.
Jika pada tahun 2019 tuan-puan bayar minimum RM50 dan lupa bayar pada tahun 2020, tuan-puan masih layak menerima manfaatnya.
Tapi jika tahun 2021 berlaku kematian kepada pembayar zakat dan tiada bayaran dibuat pada tahun tersebut maka waris tidak layak untuk terima sebarang manfaat.
Cadangan saya bayar je setiap tahun. Apalah sangat RM50 tu. Kalau lebih lagi bagus.
Namun harus diingat bayaran zakat yang diambil kira adalah Zakat Harta sahaja.
Zakat Fitrah tak diambil kira ya!
Apa tu Zakat Harta?
Zakat Harta termasuklah zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, pelaburan, Emas & Perak, dan takaful.
Nak tahu lebih lanjut boleh rujuk https://www.zakat.com.my/sl/kafalah/

0 comments:

Post a Comment